Sejarah Penubuhan Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor

SEJARAH PENUBUHAN MAKMAL PUSAT BAHASA ARAB NEGERI SELANGOR

Makmal Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor ditubuhkan sebagai usaha untuk memenuhi keperluan pendidikan Islam peringkat negeri Selangor yang menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa teras dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah agama di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selongor (JAIS).

Penubuhan makmal ini bermula daripada hasrat dan usaha gigih Bahagian Pendidikan Islam JAIS untuk mewujudkan sebuah pusat unggul yang berteraskan kecemerlangan akademik dalam bidang Bahasa Arab. Dengan izin dan perkenan Kerajaan Negeri Selangor serta sokongan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sebuah jawatankuasa penubuhan Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor mula membuat persediaan ke arah terwujudnya Pusat Bahasa.

Seiring dengan bermulanya pembangunan sebuah Makmal Bahasa atas sokongan peruntukkan daripada kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor mula mencadangkan untuk perlantikan guru-guru pakar Bahasa Arab tempatan dan luar negara.

Pada awal tahun 2011, Majlis Agama Islam Selangor telah melantik 7 orang guru Bahasa Arab luar negara yang ditempatkan di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Banting dan Klang. Seterusnya, untuk menguruskan dan menjalankan program-program Makmal Bahasa, MAIS telah melantik lima (5) lagi guru Bahasa Arab luar negara.

Maka dengan terwujudnya makmal Pusat Bahasa Arab ini diharapkan akan menjadi nadi penggerak dalam memperkasakan Bahasa Arab di negeri Selangor, serta menjadi langkah permulaan dalam usaha mewujudkan sebuah pusat Bahasa Arab Negeri Selangor yang berdikari dan professional.

Dengan dibarisi guru-guru Bahasa Arab tempatan dan luar negara yang pakar di bidangnya, serta adanya makmal bahasa yang canggih, diharapkan makmal pusat bahasa ini akan berjaya dalam menjalankan semua program dan kursus-kursus yang telah disenaraikan sepanjang tahun 2012. Semoga usaha mulia dan sokongan dari semua pihak akan diberkati dan dimudahkan Allah SWT dalam memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Arab di negeri Selangor dan sekitarnya. Amin.

Leave a Comment